Tidak pelik lagi, kita semua pasti tahu tentang uniknya tulisan Arab, tulisan Hangul, tulisan Latin dan lain-lain lagi. Bentuk serta cara penulisannya yang berlainan mungkin membuatkan ramai tertanya-tanya tentang sistem penulisan yang berbagai-bagai sepanjang sejarah dunia.
Sebenarnya, kebanyakan sistem tulisan di dunia berkait rapat dengan jenis-jenis huruf yang sesebuah negara, ataupun budaya, gunakan. Bahkan, ada juga sistem tulisan yang menggunakan satu set huruf langsung sebagai satu suku kata dengan vokal “a”. Dalam artikel ini, kita akan jelaskan tentang sistem tulisan ini yang dikenali sebagai “Abugida”.
Abugida
Seperti yang dinyatakan tadi, Abugida adalah abjad suku kata, di mana huruf-huruf melambangkan suku kata dengan vokal “a”. Bagi mengubah vokal atau bunyi “a” pada huruf induk, ia akan diberikan “tanda”, “garis sengkang” ataupun “titik”. Antara aksara yang termasuk dalam sistem tulisan Abugida adalah aksara di kawasan Asia Selatan (India, Nepal, Sri Lanka, Bangladesh dll.) dan juga aksara-aksara tradisional di Asia Tenggara (Indonesia, Filipina, kerajaan Champa dll). Contoh sistem tulisan yang tergolong di bawah sistem tulisan Abugida adalah :
- Tulisan Rencong
Tulisan Rencong adalah antara salah satu sistem tulisan orang Melayu tradisional sebelum wujudnya tulisan Jawi dan rumi. Ia turut dikenali sebagai “Incung” dan dipercayai sebagai satu-satunya tulisan yang dicipta oleh orang Melayu purba tanpa pengaruh luar Nusantara ataupun Alam Melayu.
“Mengapakah ia dinamakan Rencong?” pertanyaan yang mungkin berlegar di fikiran anda. Jadi, menurut Bahasa Melayu kuno, “rencong” bermaksud serong, dan sebab itulah tulisan Rencong mendapat namanya; kerana huruf-hurufnya yang ditulis dalam keadaan menyerong.
Tulisan Rencong banyak digunakan ketika zaman pemerintahan Kerajaan Srivijaya semasa abad ke-7 hingga abad ke-13, dan juga di Sumatera Selatan oleh masyarakat Bangkahulu, Palembang dan Minangkabau. Seperti tulisan Abugida lain, tanda titik dan tanda sengkang digunakan bagi mencipta huruf vokal “e, i, o, u, ai dan au”. Huruf-huruf ini kemudiannya akan dicantumkan bagi menghasilkan suku kata Bahasa Melayu kuno yang difahami.
Biasanya, masyarakat Melayu zaman dahulu menggunakan tulisan Rencong dan tulisan kuno lainnya seperti Pallava dan Kawi pada helaian kulit-kulit kayu, dedaun, ketulan batu-batu (batu bersurat) dan juga untuk tujuan persuratan. Buktinya, tulisan kuno ini ditemui pada sebuah batu bersurat di Kota Kapur oleh J.K. van der Meulen pada tahun 1892.
Katanya, batu bersurat ini mengandungi kisah sumpahan seorang raja kerajaan Srivijaya ke atas sebuah kerajaan lain di Pulau Jawa. Berikut merupakan sebahagian terjemahan tulisan pada Batu Bersurat Kota Kapur :
“Biar mereka yang menyuruh berbuat jahat itu dibunuh sumpah. Sesiapa yang menyuruh orang memusnahkan batu yang dipasang ini, maka mudah-mudahan mereka pula dibunuh sumpah dan dihukum segera…..”
Dengan penggunaan tulisan Rencong yang amat berpengaruh pada zaman tersebut, muncul pula persoalan bagaimana tulisan tersebut pupus ditelan zaman! Jadi, apakah sebab yang sebetulnya?
Salah satu sebabnya adalah kedatangan penjajah Belanda ke Indonesia. Pada awalnya, tulisan Rencong telah berjaya menyatukan penduduk tempatan, terutamanya di kawasan Kerinci. Mereka telah memanfaatkan tulisan Rencong untuk melawan penjajah dengan menulis surat yang mengandungi strategi ataupun maklumat.
Namun, disebabkan penjajah Belanda sedar yang mereka tidak dapat faham inti surat-surat tersebut, penggunaan tulisan Rencong lantas tidak dibenarkan sama sekali. Hal ini dilakukan bagi memudahkan proses penjajahan Belanda di Indonesia, yang malangnya, terjadi selama 350 tahun.
Sebab lain tulisan Rencong dan tulisan Melayu kuno lainnya pupus adalah kerana ramai orang yang mula memeluk Islam disebabkan penyebaran Islam yang pesat di Kepulauan Melayu. Masyarakat pada ketika itu cuba untuk menulis hal-hal berkaitan Islam seperti ayat al-Quran dan hadis, tetapi disebabkan tulisan Rencong tidak mampu memberikan bunyi perkataan Arab dengan tepat, masyarakat pun ambil keputusan untuk tinggalkan tulisan kuno ini.
Maka, bagi menggantikan tulisan Rencong, mereka mencipta pula tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf Arab dan mampu dieja dalam bahasa Melayu serta digunakan dalam sistem persuratan bahasa Melayu klasik.
2. Tulisan Baybayin
Tulisan Baybayin, juga tergolong dalam kerabat tulisan Abugida, merupakan sebuah sistem tulisan lama bahasa Tagalog. Ia pernah digunakan secara meluas di Filipina, terutamanya kawasan Luzon, pada abad ke-16 hingga abad ke-17, sebelum ia digantikan dengan tulisan rumi.
“Baybayin” membawa maksud menulis ataupun mengeja dalam bahasa Tagalog. Kini, tulisan ini diberikan nama panggilan berlainan oleh suku-suku di Filipina. Contohnya, suku Bisaya memanggil tulisan Baybayin sebagai “Badlit” ataupun “Kudlit-kabadlit”, suku Iloko pula memanggilnya “Kurditan” ataupun “Kur-itan”, dan suku Bikol pula memanggilnya “Basahan”.
Asal-usul tulisan Baybayin agak samar dengan wujudnya beberapa teori tanpa adanya bukti yang kukuh. Ada yang mengatakan tulisan Baybayin dipengaruhi oleh budaya India disebabkan proses Indianisasi kerajaan-kerajaan Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Ada pula penyelidik dan sejarawan yang mempunyai pendapat berlainan tentang sejarah tulisan Baybayin. Isaac Taylor mengusulkan bahawa tulisan Baybayin berasal dari pesisir Benggala pada abad ke-8 kerana huruf tulisan Baybayin yang serupa dengan huruf Kistna dan juga Assam. Fletcher Gardner dan TH Pardo de Tavera pula berpendapat bahawa tulisan Baybayin mempunyai persamaan dengan tulisan Brahmi klasik.
Seperti tulisan Rencong, tulisan Baybayin juga mengalami nasib yang sama dengan penjajahan menjadi punca ia tidak lagi digunakan dengan meluas. Sepanyol telah menjajah Filipina selama 333 tahun, dan selama lebih tiga abad tersebut, masyarakat Filipina terpaksa meninggalkan tulisan tempatan mereka.
Hal ini dilakukan kerana ketiadaan beberapa huruf tulisan Baybayin yang boleh menghasilkan bunyi bahasa Sepanyol. Tambahan lagi, masyarakat tempatan yang ingin memajukan diri mereka dari segi sosioekonomi, diwajibkan untuk mahir dalam bahasa Sepanyol. Barulah mereka boleh bekerja sebagai kerani, setiausaha ataupun jurutulis di bawah pemerintahan Sepanyol!
Di sebalik kemerosotan tulisan Baybayin beberapa abad yang lalu, masyarakat milineal Filipina kini cuba membawa balik tulisan Baybayin kerana mereka menganggap bahawa tulisan kuno ini adalah sebahagian daripada identiti awal mereka. Beberapa perkara dilakukan oleh diaspora masyarakat Filipina untuk mempromosikan penggunaan tulisan Baybayin yang kian terancam ini. Antaranya adalah dengan penggunaan ayat dalam tulisan Baybayin yang dijadikan tattoo, t-shirt, aplikasi mudah alih dan lain-lain.
Sejujurnya, budaya-budaya di seluruh dunia yang mengalami nasib sama dengan pupusnya tulisan tradisional mereka wajarlah cuba menghidupkan kembali tulisan tersebut. Budaya nenek moyang kita tidak patut dilupakan begitu sahaja kerana jiwa sesebuah negara bergantung kepada kepelbagaian budayanya.
Sumber
Bayani Art. “Baybayin – Ancient Writing Script of the Philippines.” Bayani Art, July 20, 2021. https://www.bayaniart.com/articles/baybayin/
Celis, Noel. “The Revival of Baybayin – an Ancient Philippines Script Ripped up by Colonisation.” The National. The National, July 5, 2021.
Portal Informasi Indonesia. “Aksara Incung, Satu-Satunya Aksara Lokal Di Sumatra Tengah.” Laman Resmi Republik Indonesia • Portal Informasi Indonesia, August 26, 2019.