TAHUKAH ANDA? (Part 24: Pengaturcara Pertama)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

“If you can’t give me poetry, can’t you give me poetical science?” – Ada Lovelace

Dipetik daripada kisah hidupnya sendiri yang dipisahkan daripada pengaruh keluarga bapanya, Ada Lovelace mengabadikan dirinya ke dalam bidang sains. Ada Lovelace, atau nama sebenarnya, Augusta Ada Byron, merupakan puteri kepada Lord Byron, seorang penyair romantik yang terkenal di serata Eropah dan juga Anne Isabella Milbanke, seorang ahli intelektual yang mempunyai minat mendalam dengan bidang matematik dan astronomi.

(Anne Milbanke [kiri] dan Lord Byron [kanan])

  • Zaman Kanak-kanak

Sebagai seorang wanita yang kuat beragama, Anne Milbanke menganggap bahawa puterinya tidak patut dibesarkan di bawah pengaruh suaminya yang cenderung untuk berfoya-foya, lantas membawa Ada Lovelace, yang baru sahaja berusia dua bulan, kembali untuk tinggal bersama ibu bapanya. Alasan lain diberikan Anne ketika itu adalah beliau menginginkan Ada untuk menjadi seorang intelektual tanpa pengaruh imaginasi serta fantasi yang kuat daripada bapanya.

(Dari kiri, Ada Lovelace ketika berumur 4 tahun, 7 tahun dan 17 tahun)

Masa kanak-kanak dan remaja Ada dipenuhi dengan mempelajari ilmu-ilmu sains terutamanya bidang matematik dan teknologi. Beberapa tutor peribadi diupah untuk mengajar Ada dan menjelang waktunya untuk menyambung pengajian di tahap yang lebih tinggi, profesor Matematik pertama di Universiti London, Augustus de Morgan, pula diupah untuk membantu Ada mendalami bidang-bidang yang ingin dipelajarinya. Antara impak profesor yang satu ini ke atas karier Ada adalah beliau telah mengajarnya topik-topik kalkulus, termasuklah nombor Bernoulli.

(Augustus de Morgan; tahun 1806-1871)

  • Sumbangan sebagai Perintis Sains Komputer

Pada tahun 1833, ketika usianya baru 18 tahun, Ada Lovelace bertemu dengan Charles Babbage, seorang ahli intelektual yang telah berjaya membangunkan prototaip kalkulator mekanikal pertama dunia, “The Difference Engine”. Ada yang kagum dengan ciptaan prototaip mesin ini, bertindak untuk terus berhubung dengan Babbage melalui surat dan bahkan, menganggap Babbage sebagai mentornya.

(The Difference Engine berdasarkan idea Charles Babbage)

Pada tahun berikutnya, Babbage mendapat idea untuk merekabentuk Analytical Engine iaitu mesin yang menggunakan punch card untuk input dan outputnya dan pada tahun 1843, Ada mula menterjemah sebuah artikel berkaitan dengan Analytical Engine yang ditulis oleh ahli matematik serta jurutera berbangsa Itali, Luigi Federico Menabrea. Di dalam artikel terjemahan Ada Lovelace, beliau telah memasukkan segala pendapat dan idea yang beliau punya terhadap mesin tersebut.

Malah, Ada turut membuat spekulasi bahawa mesin bukan sahaja beroperasi atas dasar nombor semata-mata, tetapi juga boleh memanipulasi simbol-simbol. Pendapat peribadinya yang melihat komputer di luar bidang matematik dianggap sebagai suatu bentuk peralihan asas daripada pengiraan oleh mesin kepada computing. Perspektif modennya ini membantu beliau untuk membangunkan urutan operasi matematik dan juga bagaimana Analytical Engine boleh diprogramkan untuk melakukan pengiraan Bernoulli. Perkara ini yang menyebabkan sejarawan menganggap Ada Lovelace sebagai pengaturcara pertama di dunia.

  • Penghargaan untuk Ada Lovelace

Ada Lovelace dianggap sebagai “The Mother of Computer Programming” dan diberikan penghargaan atas jasanya yang menulis algoritma pertama untuk mesin pengkomputeran awal. Salah satunya, pada tahun 1979, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberi penghargaan khusus kepada Ada Lovelace melalui penamaan “Ada” sebagai bahasa pengaturcaraan komputer yang tertumpu pada kejuruteraan perisian.

Bukan sahaja itu, mulai tahun 2009, Amerika Syarikat juga mengisytihar Selasa kedua bulan Oktober sebagai Hari Ada Lovelace bagi menghargai sumbangan kaum wanita terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

(Penghargaan oleh Google pada hari lahir Ada Lovelace yang ke-197)

  • Keturunan Ada Lovelace

Pada tahun 1835, ketika Ada Lovelace berumur 20 tahun, beliau telah berkahwin dengan William King-Noel dan melahirkan tiga orang anak bernama Byron (1836), Anne Isabella (1837) dan Ralph Gordon (1839). Akibat kanser rahim, Ada Lovelace tidak mampu hidup lama dan meninggal dunia pada usia yang muda iaitu 36 tahun.

(Dari kiri, Byron, Anne Isabella dan Ralph Gordon)

Byron King-Noel, anaknya yang pertama, menjadi seorang pegawai Royal Navy dan kekal tidak berkahwin sehinggalah beliau pun meninggal dunia pada umur 26 tahun. Anne Isabella, puteri tunggalnya pula berkahwin dengan Wilfrid Blunt dan dikurniakan seorang anak perempuan, Judith Blunt-Lytton. Bagi Ralph Gordon, anak bongsu Ada Lovelace pula, beliau berkahwin dua kali dan dikurniakan seorang anak bernama Ada King-Milbanke. 

Walaupun Ada Lovelace digelar sebagai seorang pioneer sains pengkomputeran, tiada di antara keturunannya yang meneruskan legasinya sebagai seorang ahli intelektual bidang matematik dan sains pengkomputeran. Malahan, mereka menetapkan jalan kehidupan mereka sendiri seperti Anne Isabella yang membuka ladang ternakan kuda Inggeris, Crabbet Arabian Stud, bersama suaminya.

Sumber 

Gregersen, Erik. “Ada Lovelace: The First Computer Programmer.” Encyclopedia Britannica, December 10, 2015. 

https://www.britannica.com/story/ada-lovelace-the-first-computer-programmer

Morais, Betsy. “Ada Lovelace, the First Tech Visionary.” The New Yorker, October 15, 2013. 

https://www.newyorker.com/tech/annals-of-technology/ada-lovelace-the-first-tech-visionary

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on email
Share on whatsapp
Share on telegram

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Don’t Stop Here

More To Explore

Revolusi Kerja Jarak Jauh

Kerja jarak jauh semakin popular dalam era digital. Peningkatan teknologi dalam talian membolehkan pekerja bekerja dari mana-mana dengan akses internet yang stabil. Artikel ini membincangkan

5 Senaman Mudah di Pejabat

Duduk berjam-jam boleh menyebabkan kesakitan badan, kekejangan, dan kebas. Namun, mengambil masa beberapa minit setiap jam untuk melakukan senaman mudah boleh membantu anda menjaga kesihatan

Eksklusif newsletter update di inbox anda.