Permainan pendidikan digital semakin hari semakin terkenal dalam kalangan ibu bapa dan tenaga pengajar di sekolah-sekolah. Di United Kingdom, terdapat sebuah laman web yang telah lama menyediakan material sejarah untuk para guru kepada pelajar berumur 11 hingga 18 tahun. Laman web ini diberi nama “School History” dan kini, ia turut menyediakan platform permainan pendidikan digital berdasarkan kurikulum United Kingdom dan juga antarabangsa.
Melalui pelbagai permainan pendidikan digital ini, banyak topik disertakan dalam setiap game tersebut. Antara topik-topiknya adalah Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Revolusi Industri Eropah, Tamadun Islam, Tamadun Yunani, sejarah sosial masyarakat Eropah, sejarah presiden Amerika Syarikat, Perang Saudara Amerika dan lain-lain topik lagi.
Pengguna digalakkan untuk mencuba setiap game bagi mengetahui lebih lanjut tentang topik-topik sejarah yang ingin mereka pelajari. Antara game yang menarik di laman web School History adalah :
- Beat da Bomb
Game ini membolehkan pengguna memilih salah satu topik dan juga had masa yang ingin mereka cuba. Jika pengguna memilih supaya had masa “30s/ 60s/ 90s” disediakan, masa pengguna dalam Beat da Bomb akan ditolak lima saat setiap kali jawapan yang diberikan adalah salah.
Namun, jika pengguna memilih sudden death, apabila pengguna memberikan jawapan yang salah, “bom” akan terus meletup dan pengguna terpaksa memulakan game daripada awal semula.
- Duck Shoot
Bagi game ini, terdapat 21 pilihan topik yang pengguna boleh pilih untuk menilai tahap ilmu pengetahuan sejarah mereka. Antara topik-topik yang disertakan dalam Duck Shoot adalah sejarah Jerman pada tahun 1918-1939, Presiden Amerika Syarikat 1800-an, Perang Dingin, Reformasi Parlimen pada tahun 1830-1931, sistem perhambaan dan lain-lain lagi.
Apabila pengguna telah memilih jawapan, mereka akan diberi peluang untuk “menembak” itik seperti di karnival. Jika pengguna memberikan jawapan yang betul, markah akan diberikan. Namun, jika pengguna memberikan jawapan yang salah, itik tersebut akan “terlepas” dan pengguna tidak akan mendapat markah.
- Fling the Teacher
Fling the Teacher merupakan antara permainan pendidikan digital yang paling interaktif di laman web School History. Hal ini kerana ia membolehkan pengguna mencipta avatar mengikut kreativiti mereka sendiri.
Pengguna boleh memilih salah satu topik daripada 36 keseluruhan topik yang disediakan dalam game ini. Lebih menarik lagi, ia turut menyediakan tiga jenis petunjuk yang dapat membantu pengguna menjawab soalan-soalan. Antara petunjuk yang diberikan adalah “pakar” di mana seorang pakar topik tersebut akan memberikan jawapan kepada pengguna.
- Hoop Shot
Jika anda minat permainan bola keranjang, anda boleh sahaja mencuba game ini sambil mempelajari beberapa topik sejarah. Seperti game lainnya di laman web School History, pengguna diberikan beberapa pilihan topik yang ingin mereka jawab.
Kemudian, pengguna boleh mula menjawab dan tiap kali pengguna menjawab soalan dengan betul, mereka akan diberikan peluang untuk melontar bola ke dalam keranjang, dan jika bola berjaya dimasukkan, ia akan dikira sebagai satu markah. Namun, jika jawapan yang diberikan adalah betul, tetapi pengguna gagal memasukkan bola ke dalam keranjang, markah tetap tidak akan dikira.
- Noughts and Crosses
Bagi game ini, pengguna boleh memilih “lawan” mereka, sama ada teknologi kecerdasan buatan (AI) ataupun pengguna lain yang sedang melayari laman web School History.
Sebenarnya, game ini adalah salah satu versi “tic tac toe” yang biasa kita main. Namun, bagi merancakkan Noughts and Crosses, pengguna diberikan kesempatan untuk menandakan “O” hanya jika mereka mampu mendapatkan jawapan yang betul.
Jelaslah, matlamat utama laman web School History ini adalah untuk menggalakkan para pengguna internet, terutamanya pelajar sekolah, untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah dengan cara yang lebih interaktif. Bukan sahaja mampu mengasah minda anak-anak, malah mereka dapat bermain ketika bermain permainan ilmu ini.
Jika anda ingin mencuba semua game ini, boleh sahaja klik link : https://schoolhistory.co.uk/games/
One Response