Dalam artikel tentang Matematik yang lalu, kita ada menyentuh serba sedikit tentang pengaruh Islam dalam bidang-bidang keilmuan seperti astronomi, falsafah dan fizik. Namun, adakah anda tahu bahawa seni bina Gothic yang sangat terkenal terutamanya di benua Eropah sebenarnya turut mendapat inspirasi daripada seni bina Islam? Kalau anda tidak percaya, kali ini kita akan ulas pula tentang pengaruh Islam dalam seni bina Gothic :
Apakah Seni Bina Gothic?
Terkenal dengan penggunaan gerbang runcing serta tingkap kaca berwarna dan bercorak yang berukuran besar, gaya seni bina Gothic ini amat bertentangan dengan perihal “goth” yang biasanya dikaitkan dengan estetika gelap dan misteri. Seni bina Gothic dipercayai mulai tersebar secara meluas pada pertengahan abad ke-12 di Perancis, dengan nama asalnya “Opus Francigenum” yang bermaksud hasil karya orang Perancis.

Secara umumnya, gaya seni bina Gothic dipercayai merupakan suatu evolusi khas oleh masyarakat Perancis yang pada dulunya terkenal dengan bangunan-bangunan yang dibina berasaskan gaya seni bina Romanesque. Ciri-ciri ketara yang jelas menampakkan perbezaan antara kedua-dua gaya seni bina ini adalah seni bina Romanesque biasanya mempunyai dinding yang tebal, gerbang separuh bulat serta tingkap kecil, manakala seni bina Gothic pula mementingkan pencahayaan semulajadi di dalam bangunan dan mempunyai gerbang yang runcing.
Seni Bina Gothic Mendapat Inspirasi daripada Seni Bina Islam?
Setelah melihat perbezaan antara seni bina Gothic dengan seni bina Romanesque, muncul pertanyaan, “Adakah benar seni bina Gothic sememangnya mendapat inspirasi daripada seni bina Islam?”
Bagi menjawab persoalan tersebut, Sir Christopher Wren, arkitek terhebat Britain, pernah menyatakan bahawa gaya seni bina Gothic seharusnya digelar sebagai gaya seni bina Saracen. Siapakah pula Saracen? Saracen merujuk kepada masyarakat Arab, Turki dan sesiapa sahaja yang menganut agama Islam. Jadi, menurut pendapat Sir Christopher Wren, banyak elemen struktur dan hiasan seni bina bangunan-bangunan di Eropah mempunyai persamaan dengan seni bina kerajaan-kerajaan Islam yang terdahulu.

1632 – 1723)
Selain itu, menurut penulisan Grose (1808), penjelajah Sepanyol yang telah memperkenalkan gaya seni bina Islam di Eropah setelah mereka menterjemahkan karya-karya Arab ke bahasa Latin. Oleh itu, beliau beranggapan bahawa kebanyakan gereja dan katedaral yang dibangunkan semasa Zaman Pembaharuan Eropah sepatutnya dirujuk kembali kepada seni bina masjid dan istana di Maghribi serta gereja-gereja di Sepanyol ketika Sepanyol masih lagi dikuasai oleh kerajaan Islam sewaktu Zaman Kegemilangan Islam.
Ciri-ciri Seni Bina Gothic yang Diinspirasikan oleh Seni Bina Islam
Buktinya, terdapat beberapa ciri-ciri seni bina Gothic yang jelas diinspirasikan oleh seni bina Islam. Contohnya :
- Kubah berbentuk separa sfera
Bentuk kubah di dalam Katedral St. Paul, biasanya dijumpai pada seni bina Islam yang membentuk kubah dengan separuh sfera. Sebenarnya, Katedral St. Paul ini dibangunkan oleh Sir Christopher Wren yang menyatakan bahawa beliau telah mengadaptasi banyak idea seni bina Islam ke dalam reka bentuk bangunan katedral ini. Hal ini termasuklah struktur kubah katedral yang terlihat dibina dengan berbentuk separa sfera seperti reka bentuk kebanyakan masjid.

Masjid Süleymaniye, Istanbul [kanan])
- Gerbang runcing
Menurut Darke (2020) pula, ciri jelas lainnya adalah penggunaan gerbang runcing di gereja-gereja berbanding dengan gerbang separa bulat yang banyak dijumpai pada seni bina Romanesque. Beliau menyatakan bahawa walaupun gerbang runcing bukanlah hasil kerja orang Islam semata-mata, tetapi ia tetap telah digunakan secara meluas sewaktu Zaman Kegemilangan Islam seperti pembangunan Masjid al-Aqsa. Dengan perkembangan Matematik di bawah pengaruh Islam semasa abad ke-8 hingga abad ke-13, berlaku beberapa inovasi terhadap pembinaan bangunan. Maka, ilmuwan Islam pada ketika itu mencapai konklusi bahawa gerbang runcing adalah lebih kuat berbanding dengan gerbang separa bulat Romanesque, dan oleh sebab itu, pembinaan bangunan-bangunan yang lebih tinggi boleh dilakukan.

gerbang runcing Gothic [kanan])
- Menara berbentuk kotak dengan gerbang trefoil
Di dalam bukunya, Stealing from the Saracens: How Islamic Architecture Shaped Europe, Darke menunjukkan persamaan binaan Big Ben, sebuah bangunan ikonik di London, dan juga menara Masjid Agung Aleppo di Syria yang merupakan sebuah bangunan tinggalan kerajaan Umayyah.

Big Ben yang dibina pada abad ke-19 itu dikatakan amat menyerupai menara Masjid Agung Aleppo yang siap dibina pada tahun 1090. Persamaannya dapat dilihat dengan reka bentuk menara yang berbentuk kotak dan dibahagikan kepada empat bahagian, serta dibangunkan dengan elemen-elemen yang serupa seperti gerbang trefoil.
- Ribbed vaulting
Seni bina gereja pada zaman Rom Byzantine, yang kemudian ditakluk oleh kerajaan Umayyah, mempunyai gerbang separa bulat dan kubah tunggal seperti Hagia Sophia di Turki. Setelah penaklukan, pada abad ke-8, penjelajah Umayyah membangunkan dan membawa elemen-elemen gerbang runcing, gerbang trefoil dan juga ribbed vaulting ke Sepanyol. Elemen-elemen ini boleh dilihat pada Masjid Cordoba yang siap dibina pada tahun 971 (abad ke-10).

Ribbed vaulting pada kubah utama Masjid Cordoba menampakkan corak geometri sempurna, di samping kegunaan praktikalnya iaitu untuk menyokong berat beban dinding, siling dan juga bumbung. Elemen ribbed vaulting ini boleh dilihat pada bangunan-bangunan yang dibina di Eropah seperti Chapter House, Westminster Abbey yang siap dibina pada tahun 1253.

United Kingdom)
Sejujurnya, tiada siapa yang “memiliki” gaya seni bina, tetapi ia adalah masyarakat di seluruh dunia yang secara semulajadi akan mengambil inspirasi daripada gaya-gaya seni bina yang bagi mereka menarik dan juga praktikal. Begitulah sedikit sebanyak seni bina Islam telah mempengaruhi seni bina Gothic bangunan-bangunan di serata Eropah dan juga Amerika Syarikat.
Sumber
Donnelly, Christie. “Learn about the Dramatic and Unique Features of Gothic Architecture.” The Spruce. The Spruce, February 6, 2022. https://www.thespruce.com/what-is-gothic-architecture-5076201
Editorial Team. “Christopher Wren and the Muslim Origin of Gothic Architecture.” Muslim Heritage, December 2, 2019. https://muslimheritage.com/muslim-origin-of-gothic-architecture/
Miranda, Carolina. “Essential Arts: What Europe’s Gothic Architecture Took from Islamic Design.” Los Angeles Times. Los Angeles Times, June 5, 2021. https://www.latimes.com/entertainment-arts/newsletter/2021-06-05/essential-arts-diane-darke-investigates-architectures-islamic-roots-essential-arts
Moneer, Zeina, Charles Lister, and Orestes Morfín. “Stealing from the Saracens: How Islamic Architecture Shaped Europe.” Middle East Institute, December 13, 2022. https://www.mei.edu/publications/stealing-saracens-how-islamic-architecture-shaped-europe