Ingatkah anda tentang kerajaan Langkasuka yang pernah kita pelajari sewaktu zaman persekolahan dulu? Masa untuk teroka semula!
Kerajaan Langkasuka, dipercayai telah diasaskan seawal abad kedua, merupakan antara kerajaan Hindu-Buddha tertua di Asia Tenggara. Perkara ini dibuktikan melalui penulisan rekod transkrip Dinasti Wu pada 243M serta Hikayat Merong Mahawangsa (The Kedah Annals) menyatakan kewujudan suatu penempatan purba dengan sistem pemerintahan yang cekap.
Asal-usul Nama “Langkasuka”
Secara umumnya, perkataan “Langkasuka” dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit dan membawa maksud “tanah yang membahagiakan”. Antara teori asal usul nama kerajaan ini adalah menurut Hikayat Merong Mahawangsa, seorang putera bernama Putera Raja Mahawangsa berlayar ke arah Timur dari India. Menurut kisah tersebut, setibanya baginda ke sebuah pulau di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia (kini), baginda disambut baik oleh masyarakat gergasi yang menginginkan baginda untuk menjadi pemerintah mereka.
Selain itu, disebabkan Langkasuka merupakan antara kerajaan Hindu-Buddha pada zaman dulu, para sejarawan berpendapat bahawa kerajaan ini mendapat nama daripada pedagang serta Brahman dari India. Menurut mereka, Langkasuka bermaksud Pulau Asoka dan dinamakan sebegitu atas penghormatan mereka terhadap Maharaja India ketika itu, Maharaja Asoka.
Terdapat juga sumber lain yang menyatakan bahawa Langkasuka sebenarnya bermaksud “Alangkah suka,” ataupun menurut sumber Pattani yang menyatakan bahawa nama kerajaan ini berasal daripada perkataan “lakan suka” yang merupakan cerita penglipur lara masyarakat tempatan.
Lokasi Kerajaan Langkasuka
Seperti asal-usul nama Langkasuka yang kurang diketahui kesahihannya, lokasi kerajaan ini juga agak mengelirukan walaupun telah dinyatakan dalam beberapa manuskrip kuno.
Salah satunya, menurut manuskrip catatan Liang-Shu daripada Dinasti Liang, kerajaan Langkasuka ataupun Lang-ya-xiu (狼牙脩) terletak di Laut Cina Selatan dengan keluasan wilayahnya terbentang dari hulu negeri Perak ke negeri Pattani di Teluk Siam, dan juga dari teluk Benggala sampailah ke negeri Kedah.
Menurut Hikayat Merong Mahawangsa pula, kerajaan Langkasuka terbahagi kepada dua bahagian dengan bahagian pertama terletak di negeri Kedah (kini), manakala sebahagian lagi terletak di sebelah timur Kedah hingga ke Pattani.
Hubungan Diplomatik
Langkasuka terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa. Oleh sebab itu, kerajaan ini berjaya membangunkan pusat perdagangan entrepot dan membina hubungan perdagangan dengan kerajaan luar. Menurut beberapa sumber, hubungan perdagangan ini kemudian menjadi hubungan diplomatik apabila pemerintah kerajaan luar menghantar utusan-utusan mereka ke kerajaan Langkasuka.
Sebagaimana direkodkan sewaktu era Dinasti Wu, pada 243M, Maharaja Chih Wu telah menghantar dua orang utusan rasmi untuk menjelajah kerajaan-kerajaan Asia Tenggara, termasuklah kerajaan Funan, Champa dan juga Langkasuka. Satu daripada mereka ialah pegawai istana dan satu lagi merupakan pegawai perhubungan kebudayaan. Menurut rekod tersebut, cuaca dan produk yang dikeluarkan oleh kerajaan Langkasuka adalah serupa dengan kerajaan Funan.
Kemudian, pada 515M, Raja Bhagadatta mula menjalinkan hubungan diplomatik yang rapat dengan China yang pada ketika itu berada dalam era Dinasti Liang. Ia bermula dengan Raja Bhagadatta yang menghantar duta rasmi bernama Achita serta duta-duta lainnya ke China pada 515, 523, 531 dan 568. Perkara ini dijelaskan dalam Book of Liang yang siap disusun pada 635 oleh Yao Silian.
Menurut golongan istana dan masyarakat China kuno, penghantaran duta-duta rasmi ke China adalah petanda bahawa maharaja mereka ialah seorang yang baik, bijak dan berkarisma kerana dapat menarik perhatian kerajaan luar.
Hubungan Keagamaan
Secara perlahan-lahan setelah wujudnya hubungan perdagangan dan hubungan diplomatik antara Langkasuka dan China, hubungan keagamaan juga terlahir. Hal ini kerana ramai pedagang Arab yang singgah di China berkahwin dengan masyarakat tempatan dan menyebarkan agama Islam. Jadi, apabila pedagang-pedagang ini berlayar dari Pelabuhan Guangzhou dan Chaozhou yang merupakan pekan majoriti Muslim, mereka pun ikut menyebarkan agama Islam setibanya di kerajaan Langkasuka.
Seperti yang terjadi di beberapa daerah di China, masyarakat tempatan Langkasuka pun mula menerima agama Islam setelah sekian lamanya menganut agama Hindu dan Buddha. Pedagang-pedagang Islam ini mula berasimilasi, berkahwin dengan masyarakat Melayu tempatan dan membentuk komuniti Islam.
Bahkan, Hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan pada 1136M tentang kewujudan Phra Ong Mahawangsa yang merupakan raja Langkasuka pertama yang memeluk agama Islam. Nama baginda kemudian diganti kepada Sultan Mudzafar Shah I.
Kekalahan Kerajaan Langkasuka
Oleh sebab sistem pemerintahannya yang cekap, raja-raja yang memerintah Langkasuka sentiasa menyiapkan pasukan tentera untuk mempertahankan kerajaan mereka jika diserang musuh. Semasa peperangan, seperti kerajaan kuno lainnya, gajah digunakan untuk mengalahkan musuh-musuh yang ingin menakluki kawasan Langkasuka.
Namun, pasukan tentera yang cekap dengan gerombolan gajah yang kuat tidak bermakna Langkasuka akan sentiasa menang dalam peperangan. Setelah kematian Raja Bhagadatta, kehebatan kerajaan Langkasuka merosot dan menjelang abad ke-9, tampuk pemerintahannya diambil alih serta ditakluk oleh kerajaan Srivijaya yang berpusat di Sumatera. Ketika inilah, Langkasuka mula membayar ufti kepada kerajaan Srivijaya.
Dengan kekalahan ini, kerajaan Langkasuka mula kehilangan pengaruhnya. Menurut sejarawan, tamatnya era kerajaan Langkasuka masih kekal misteri walaupun ia dikatakan telah bertahan selama lebih 10 abad. Kenyataan tentang Langkasuka terakhir dijumpai di dalam Hikayat Raja Pasai (The Pasai Annals) yang menyatakan bahawa kerajaan Langkasuka musnah pada tahun 1370.
Sumber
Haji Nik Hassan, Nik Abdul Rakid. “Siamisasi masyarakat Melayu di selatan Thailand: satu kajian di Kampung Duku, Daerah Bachok, Wilayah Narathiwas.” PhD diss., Universiti Malaya, 2003
Kamalakaran, Ajay. “The Mystery of an Ancient Hindu-Buddhist Kingdom in Malay Peninsula.” Scroll.in. Scroll.in, March 13, 2022. https://scroll.in/magazine/1019293/the-mystery-of-an-ancient-hindu-buddhist-kingdom-in-malay-peninsula