Anda semua yang pernah tonton filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal, pasti tidak asing dengan nama Nakhoda Ragam. Dia merupakan suatu watak penting di dalam filem tersebut, di mana dia telah menyelamatkan dan banyak membantu Upin dan Ipin dengan membawa mereka berlayar menggunakan kapalnya, kapal Layar Lara. Rupa parasnya digambarkan sebagai seorang sosok lelaki yang tampan, berkulit sawo matang dan mempunyai rambut yang panjang.
Tetapi, siapakah sebenarnya Nakhoda Ragam? Sebenarnya, banyak versi Nakhoda Ragam yang telah diceritakan secara turun-temurun, terutamanya di daerah Kepulauan Melayu. Jadi, dalam artikel ini, kita akan mengupas beberapa versi cerita rakyat tentang Nakhoda Ragam! :
- Nakhoda Ragam Kerabat Diraja Brunei Darussalam
Kisah ini disebarkan oleh masyarakat tempatan negara Brunei kerana mereka percaya bahawa Nakhoda Ragam sememangnya Sultan Bolkiah, Sultan Brunei ke-5! Menurut sejarah Brunei, Sultan Bolkiah memerintah dari tahun 1485 hingga tahun 1524, yang merupakan Era Kegemilangan dan Keemasan Brunei.
Bahkan, kegemilangan Empayar Brunei pada ketika itu turut diceritakan oleh seorang penjelajah Portugis, Ferdinand Magellan, yang telah melawat Brunei dan kagum dengan kekayaan serta keluasan Empayar Brunei. Jajahan Nakhoda Ragam ketika itu meliputi seluruh Kepulauan Borneo seperti wilayah Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai dan Bulungan. Bukan sahaja itu, baginda juga berjaya meluaskan empayarnya sehingga ke Kepulauan Sulu, Palawan, Mindoro, Kota Seludong dan Keramian.
Gelaran Nakhoda Ragam terlahir kerana sifat baginda yang mahir dalam pelbagai aspek. Diceritakan bahawa baginda suka membawa alat-alat muzik seperti gendang kebesaran Diraja, canang, nakara dan gong setiap kali keluar berlayar ke luar empayar. Baginda juga gemar berpantun, bersyair serta berdendang. Disebabkan itulah, baginda digelar sebagai Nakhoda Ragam.
Menurut cerita rakyat masyarakat Brunei, Nakhoda Ragam berjaya menambat hati seorang puteri yang amat cantik rupa parasnya dari Pulau Segantang Bini iaitu Puteri Lela Menchanai. Kisah cinta mereka amat sedih apabila diceritakan kerana apabila baginda mangkat, Puteri Lela Menchanai lantas mengambil nyawanya sendiri kerana tidak sanggup untuk tinggal di dunia ini tanpa suaminya.
Kisah kemangkatan Nakhoda Ragam dikisahkan melalui sebuah lagu bertajuk Puteri Lela Menchanai oleh Shukri Zain pada 10 Mac 1968. Jelaslah, baginda mangkat di pangkuan permaisuri kesayangannya sendiri.
Yang menariknya, bagi menghormati rakyat Brunei Darussalam dan kisah ini, Les Copaque turut mengundang pengisi suara serta seorang jurulatih vokal terkenal dari Brunei, Fakhrul Razi, bagi memerankan watak Nakhoda Ragam di dalam filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal.
- Nakhoda Ragam, Pelayar dan Penakluk Hebat
Versi ini menceritakan pula kisah Nakhoda Ragam yang hebat berlayar dan menakluk wilayah untuk memperluas empayarnya. Bahkan, sehingga ke hari ini, Nakhoda Ragam sering dikaitkan dengan banyak tempat di seluruh Kepulauan Melayu; Sumatera, Melaka, Johor, Brunei, Singapura, Sulawesi, Jawa dan juga Pulau Pinang.
Menurut nota-nota yang dicatat oleh Vaughn (1857), Nakhoda Ragam merupakan seorang pedagang yang sering berlayar dari Empayar Linggi ke Empayar Kedah. Semasa pelayarannya inilah, dia menemukan suatu pulau di antara kedua empayar ini yang menurutnya sesuai untuk kapalnya berlabuh.
Lantas, Nakhoda Ragam menamakan pulau tersebut sebagai “Pulo Ka Satu”, ataupun Pulau Kesatu. Menurutnya, dia menamakan Pulau Kesatu kerana itulah satu-satunya pulau yang terpencil di sepanjang laluan perdagangan Selat Melaka. Kini, pulau tersebut dikenali sebagai Pulau Pinang. Dia juga sering dikaitkan sebagai pelayar yang memberi nama kepada Bayan Lepas, Pulau Kendi, Tanjung Pucat Muka dan lain-lain teluk dan sungai di sekitar pulau tersebut.
- Nakhoda Ragam, Suami Puteri Gunung Ledang
Dalam versi ini, perwatakan Nakhoda Ragam digambarkan sebagai seorang pelayar yang mempunyai suara merdu, digelar sebagai “Kapten Bersuara Merdu”, ataupun dalam nota-nota penjelajah Barat, dikenali sebagai “The Singing Captain”. Dikatakan juga semasa pelayarannya, Nakhoda Ragam sentiasa akan membawa alat set muzik yang akan dimainkannya bagi menghibur hatinya sendiri.
Dalam misi pelayarannya, Nakhoda Ragam berjaya membuat Puteri Gunung Ledang jatuh hati dengan suaranya yang merdu itu. Setelah mereka berkahwin, Nakhoda Ragam pun mengajak Puteri Gunung Ledang berlayar bersama-samanya. Diceritakan, ketika salah satu pelayaran mereka, Nakhoda Ragam ingin bermanja dengan Puteri Gunung Ledang dan berniat untuk memeluk tubuh puteri tersebut dari belakang.
Namun, tidak diketahuinya yang Puteri Gunung Ledang sedang menjahit dan senang sekali terkejut. Jadi apabila si puteri terkejut, dia pun tertusuk suaminya itu dengan jarum emas yang dipegangnya. Sedihnya kisah ini, Nakhoda Ragam pun meninggal dalam pelukan isterinya tersebut.
Akibat rasa takut dan cemas akan dikenakan hukuman oleh anak kapal Nakhoda Ragam, Puteri Gunung Ledang pun bersembunyi di dalam kabin kapal bersama mayat suaminya itu. Apabila malam menjelma, puteri itu pun pergi ke dek kapal secara senyap-senyap dan memakai jubah saktinya. Puteri Gunung Ledang kemudian terbang menuju ke Gunung Ledang dan bersumpah tidak akan mempunyai rasa sayang dan kahwin lagi dengan lelaki lain. Jadi, mungkin sebab inilah Puteri Gunung Ledang sentiasa meminta hantaran yang tidak masuk akal setiap kali dilamar.
Begitulah beberapa kisah yang terkait dengan nama Nakhoda Ragam. Malangnya, fakta sejarah mengenai Nakhoda Ragam masih belum diketahui dan seperti kisah-kisah mitos lainnya, kesahihan kisah pelayar hebat ini pun tidak dapat dibuktikan. Jadi, ambil sahajalah iktibar-iktibar yang baik daripada cerita-cerita rakyat seperti ini.
Sumber
“Buku Sejarah Sultan-Sultan Brunei.” HMjubliemas. Jabatan Perkembangan Kurikulum, 2015. https://www.hmjubliemas.gov.bn/Documents/pdf/Buku%20Sejarah%20Sultan-Sultan%20Brunei.pdf
Jelani Harun. “‘The Legend of Nakhoda Ragam’ in the Malay World and Its Link to Penang’s Early History.” Malay Literature 33, no. 2 (December 1, 2020): 149–68.
“Nakhoda Ragam.” Upin & Ipin Wiki, 2019. https://upinipin.fandom.com/ms/wiki/Nakhoda_Ragam
“The True Identity of Nakhoda Ragam… and the Princess of Mount Ledang.” June 23, 2015. http://tutudutta.blogspot.com/2015/06/the-true-identity-of-nakhoda-ragam.html