TAHUKAH ANDA? (Part 14: Adolf Hitler dan Dendamnya terhadap Seni)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

“Teater,   seni,   sastera,   pawagam,   media   akhbar,   poster   dan   paparan   cermin seharusnya   bersih   dari   segala   kekotoran   dunia   agar   dapat   berkhidmat kepada moral, politik dan budaya.” – Adolf Hitler

Anda semua yang minat membaca tentang sejarah dunia pasti kenal akan nama Adolf Hitler, tetapi adakah anda tahu bahawa diktator yang satu ini pernah mempunyai impian untuk menjadi seorang pelukis yang ternama? Dalam artikel kali ini, kita akan mengupas kisah Hitler yang kurang diketahui orang ini.

(Klara Hitler [kiri], ibu kepada Adolf Hitler [kanan])

Adolf Hitler merupakan anak kepada pasangan Alois Hitler dan Klara Hitler. Semasa zaman kanak-kanaknya, Hitler menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang seni, tetapi pilihannya itu amat ditentang oleh ayahnya yang berhasrat untuk Hitler menjadi seorang pegawai kerajaan seperti dirinya. Oleh itu, masa kanak-kanak Hitler penuh penderaan daripada ayahnya. Penderaan itu berakhir apabila Alois Hitler meninggal dunia di saat umur Hitler 13 tahun.

Dunia Hitler muda hancur apabila ibu kesayangannya meninggal dunia ketika beliau berumur 17 tahun akibat kanser payudara. Setelah pemergian ibunya pada tahun 1908, Hitler membuat keputusan untuk pindah bersama kawannya, August Kubizek, dari kampung halamannya di Linz, Austria ke Vienna, ibu negeri Empayar Austria-Hungary.

(August Kubizek; tahun 1888 – 1956)

Di Vienna, pada masa sama rakannya diterima masuk ke Vienna Music Conservatory, Hitler gagal dalam permohonannya untuk menjadi seorang pelajar di Vienna Academy of Fine Arts. Hitler begitu berdedikasi untuk menjadi seorang pelukis dan memohon kembali pada sesi seterusnya, iaitu musim luruh tahun 1908. Namun, Hitler masih juga tidak diterima masuk dengan alasan lukisan-lukisan yang dilukisnya tidak mempunyai ciri unik yang menarik perhatian.

 

(Salah satu lukisan Hitler; tahun 1906)

Malahan, menurut jawatankuasa akademi tersebut, kemahiran melukis Hitler dinilai sebagai ‘tidak memuaskan’. Lantas, profesor serta pengarah akademi menggalakkan Hitler untuk mengasah kemahirannya yang dampak lebih cenderung ke arah bidang seni bina. Mereka merasakan lukisan Hitler memaparkan pemahaman tentang struktur dan reka bentuk seni bina, bukan artistik seni visual yang selama ini diimpikan oleh beliau.

Walaupun permohonan Hitler ditolak untuk kali kedua, beliau tetap berusaha untuk membina namanya sebagai seorang pelukis amatur yang tiada latar belakang pendidikan dalam bidang seni. Bahkan, di dalam autobiografinya, Mein Kampf, Hitler mendakwa bahawa beliau sebenarnya terkejut kerana tidak diterima untuk memasuki Vienna Academy of Fine Arts. Menurut Hitler, beliau begitu yakin bahawa suatu hari nanti, beliau sememangnya akan menjadi pelukis yang berjaya.

(Belvedere, Vienna yang dilukis oleh Adolf Hitler pada tahun 1910)
(Triumphal Arch yang dilukis oleh Adolf Hitler pada tahun 1925)

Kisah Hitler sebagai seorang pelukis yang kais pagi makan pagi, kais petang berterusan apabila beliau hanya membuat duit dengan hasil lukisan minyak potret lukisan bangunan di Vienna. Pada waktu ini, Hitler sering berpindah daripada satu bilik sewa sempit ke bilik sewa yang lain, sehinggakan beliau terpaksa tinggal di tempat perlindungan gelandangan.

Dalam kemiskinan hidup yang dirasakan oleh Hitler, beliau amat mengagumi datuk bandar Vienna ketika itu iaitu Karl Lueger. Pada waktu inilah beliau terpengaruh dengan pandangan anti-semitisme yang disebarkan oleh Lueger. Kebencian Hitler terhadap orang Yahudi dikatakan semakin mendalam kerana beliau sedar bahawa beliau tinggal dalam kemiskinan di bandar Vienna yang cantik dan majoriti didiami oleh orang Yahudi yang kaya-raya.

(Karl Lueger; tahun 1844 – 1910)

Beberapa tahun kemudian, apabila Hitler menjadi pemimpin Nazi (Führer), beliau bertindak dengan rasa dendam bukan sahaja pada orang Yahudi, tetapi juga bidang seni yang dikatakan amat bermakna pada dirinya suatu ketika dahulu. Sebagai seorang Führer, Hitler menanamkan doktrin bahawa seni moden adalah produk Yahudi dan Bolsheviks yang gagal. Hitler juga mendakwa seni moden merupakan suatu ancaman kepada identiti nasional Jerman.

Bahkan, pada tahun 1937, Hitler mengarahkan tentera Nazi untuk mengumpulkan hampir 16,000 hasil karya seni daripada pelukis-pelukis ternama di Jerman dan kemudian meletakkan semua lukisan tersebut sebagai sebuah pameran di Munich. Tujuan pameran ini dilakukan bukanlah kerana Hitler ingin semua masyarakat untuk mengagumi lukisan-lukisan tersebut, tetapi untuk mengajak orang ramai mencemuh hasil karya artis lainnya.

(Hitler melawat pameran lukisan seni moden
yang “tidak berkualiti”)

Begitulah teruknya rasa dendam Hitler terhadap bidang seni dan juga kegagalannya sendiri untuk menjadi seorang pelukis yang berjaya. Semasa hari-hari akhir hidupnya, Hitler turut mengarahkan tentera Nazi untuk mengumpulkan segala karya yang pernah dilukisnya untuk dibakar dan dihapuskan. Namun, tidak semua berjaya dihapuskan seperti lukisan-lukisannya yang telah pun dirampas oleh pasukan tentera Amerika Syarikat setelah tamatnya Perang Dunia Kedua.

(Lukisan The Courtyard of the Old Residency, Munich yang dilukis oleh Adolf Hitler pada tahun 1914)

Oleh sebab inilah, terdapat beberapa sejarawan yang berpendapat bahawa jika sahaja permohonan Hitler untuk memasuki Vienna Academy of Fine Arts tidak ditolak, mungkin Hitler tidak akan hidup miskin di jalanan dan kemudian menyimpan rasa dendam yang menebal hingga membuatnya menjadi salah satu pencetus Perang Dunia Kedua.

Sumber 

Artincontext. “Hitler Paintings – Looking at the Paintings by Hitler, the Infamous Dictator.” artincontext.org, June 23, 2022. https://artincontext.org/hitler-paintings/

Pruitt, Sarah. “When Hitler Tried (and Failed) to Be an Artist.” History.com. A&E Television Networks, September 13, 2019. https://www.history.com/news/adolf-hitler-artist-paintings-vienna

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on email
Share on whatsapp
Share on telegram

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Don’t Stop Here

More To Explore

Revolusi Kerja Jarak Jauh

Kerja jarak jauh semakin popular dalam era digital. Peningkatan teknologi dalam talian membolehkan pekerja bekerja dari mana-mana dengan akses internet yang stabil. Artikel ini membincangkan

5 Senaman Mudah di Pejabat

Duduk berjam-jam boleh menyebabkan kesakitan badan, kekejangan, dan kebas. Namun, mengambil masa beberapa minit setiap jam untuk melakukan senaman mudah boleh membantu anda menjaga kesihatan

Eksklusif newsletter update di inbox anda.