TAHUKAH ANDA? (Part 10 : Sejarah Matematik Dunia 4.0)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

Perkembangan bidang Matematik di bawah pengaruh kepimpinan Islam telah pun kita ulas dalam artikel sebelumnya. Jadi, kali ini kita lanjutkan pembacaan mengenai sejarah Matematik dunia dengan ulasan tentang perkembangan bidang Matematik semasa Zaman Pertengahan Eropah : 

6) Matematik ketika Zaman Pertengahan Eropah

Dalam waktu yang sama (abad ke-5 hingga abad ke-15) semasa Tamadun Cina, Tamadun India dan Empayar Islam memperkembang aktiviti keilmuan mereka, Eropah berada dalam Zaman Kegelapan; permulaan Zaman Pertengahan. Zaman ini dikenali sebagai zaman kemunduran Eropah setelah kejatuhan Empayar Rom, di mana terjadinya gelut politik, ekonomi, sosial dan kongkongan agama yang amat ekstrem. Oleh itu, ramai para ilmuwan pada ketika itu lebih menghargai bidang kemanusiaan seperti falsafah, kesusasteraan dan teologi.

(Anicius Manlius Severinus Boethius, tahun 480 – 524)

Bahkan, sehingga abad ke-11, hanya sebahagian kecil kajian bidang Matematik daripada Tamadun Yunani yang dipelajari oleh masyarakat Eropah. Hal ini terjadi kerana ketika Zaman Kegelapan Eropah, kebanyakan teks ilmu adalah dalam bahasa Yunani dan kerana rata-rata masyarakat Eropah tidak fasih berbahasa Yunani, ilmu pun tidak dapat berkembang. Malah, rakyat Eropah pada ketika itu hanya bergantung kepada terjemahan Boethius bagi beberapa karya Yunani kuno seperti Nicomachus dan Euclid. Segala bentuk perdagangan dan pengiraan juga masih dilakukan dengan menggunakan sistem angka Rom yang tidak cekap, sedangkan Matematik dalam Empayar Islam telah pun menggunakan sistem numeral Hindu (1-9 dan 0) yang jauh lebih cekap.

(Peta menggambarkan interconnectivity rangkaian perdagangan global
pada permulaan abad ke-13)

Walaubagaimanapun, menjelang abad ke-12, Eropah, khususnya Itali, mula berdagang secara pesat ke dunia Timur dan Empayar Islam. Oleh itu, ilmu pengetahuan dari dunia Timur mula secara beransur-ansur tersebar ke Barat. Beberapa penterjemah utama abad ini adalah Robert of Chester, Adelard of Bath, Herman of Carinthia dan juga Gerard of Cremona yang telah menterjemah karya-karya Arab al-Khawarizmi dan juga teks Yunani Euclid kepada bahasa Latin.

Ahli matematik zaman pertengahan Eropah yang pertama ialah Leonardo Fibonacci. Seperti al-Khawarizmi, Fibonacci juga mengadvokasi penggunaan sistem numeral Hindu yang pada waktu ini telah pun dipengaruhi oleh kajian Matematik Islam. Oleh itu, pada awal abad ke-13, seluruh Eropah tidak lagi menggunakan sistem angka Rom dan mula menggunakan sistem numeral Hindu-Arab. Lantas, membuka jalan kepada kemajuan yang besar untuk bidang Matematik di Eropah.

(Leonardo Fibonacci,
tahun 1170 – 1250)

Perkembangan pesat aktiviti perdagangan di Eropah menyebabkan perlunya keperluan praktikal untuk mahir dalam bidang Matematik. Lebih-lebih lagi, dengan munculnya mesin cetak yang pertama pada abad ke-15, banyak buku mengenai Aritmetik diterbitkan untuk tujuan mengajar ahli-ahli perniagaan kaedah pengiraan yang efisien.

Selain Fibonacci, Johannes Regiomontanus, seorang ahli Matematik Jerman juga memberikan sumbangan utama kepada Matematik, terutama dalam bidang Trigonometri. Regiomontanus telah memperkembang bidang Trigonometri sebagai suatu cabang bebas di bawah Matematik dan membangunkan serta menerangkan pengetahuan asas melalui bukunya “De Triangulis”. Kini, pengetahuan asas Trigonometri itulah yang diajar di sekolah menengah dan universiti.

(Johannes Regiomontanus, tahun 1436 – 1476)

Tidak lupa juga, ahli falsafah Jerman yang juga merupakan ahli Matematik dan ahli Astronomi pada abad ke-15, Nicolaus Cusanus. Teori dan idea-idea beliau mengenai konsep infinite dan infinitesimal secara langsung telah mempengaruhi hasil kerja ahli-ahli Matematik pada abad kedepannya. Salah satunya ialah Gottfried Leibniz yang telah mencipta mesin Leibniz, sebuah mesin yang dikatakan suatu kemajuan besar dalam pengiraan mekanikal pada 1670.

Jelaslah, dengan penterjemahan kajian-kajian Matematik lalu kepada bahasa Latin daripada Tamadun Yunani, Tamadun Mesir dan Dunia Islam, masyarakat Eropah mampu keluar daripada Zaman Kegelapan. Dengan itu, mereka juga mampu memperkembang idea-idea yang sedia ada dan membangunkan teori-teori baru yang kemudiannya banyak diperhalusi dalam abad-abad akan datang.

Sumber

Folkerts, Menso, Craig G Fraser, Jeremy John Gray, John L Berggren, and Wilbur R Knorr. “The Transmission of Greek and Arabic Learning.” Encyclopædia Britannica. Encyclopædia Britannica, inc., July 26, 1999. https://www.britannica.com/science/mathematics/The-transmission-of-Greek-and-Arabic-learning.

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on email
Share on whatsapp
Share on telegram

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Don’t Stop Here

More To Explore

Revolusi Kerja Jarak Jauh

Kerja jarak jauh semakin popular dalam era digital. Peningkatan teknologi dalam talian membolehkan pekerja bekerja dari mana-mana dengan akses internet yang stabil. Artikel ini membincangkan

5 Senaman Mudah di Pejabat

Duduk berjam-jam boleh menyebabkan kesakitan badan, kekejangan, dan kebas. Namun, mengambil masa beberapa minit setiap jam untuk melakukan senaman mudah boleh membantu anda menjaga kesihatan

Eksklusif newsletter update di inbox anda.