Jika ejaan anda pernah dibetulkan secara automatik ketika menggunakan sebarang gajet, anda telah pun menggunakan teknologi kecerdasan buatan, ataupun artificial intelligence (AI). Jika anda menggunakan aplikasi pembelian makanan secara atas talian dan menerima cadangan untuk mencuba sesuatu yang sememangnya menepati cita rasa, anda telah pun menggunakan teknologi AI. Tanpa kita sedari, penggunaan teknologi AI memainkan peranan penting dalam memudahkan cara kehidupan seharian kita.
Oleh itu, artikel kali ini akan mengetengahkan beberapa contoh penggunaan teknologi AI yang kita gunakan setiap hari. Antaranya adalah :
- Teknologi Pembantu Digital (Digital Assistant Technology)
Kebiasaannya, apabila anda sedang sibuk melakukan sesuatu perkara yang lain dan ingin menyiapkan semua tugas dalam satu masa, anda pasti akan menggunakan kemudahan teknologi, bukan? Teknologi Pembantu Digital seperti Siri, Google Home dan Alexa semestinya amat berguna dalam kehidupan anda.
Contohnya, apabila anda sedang memandu kenderaan dan tidak boleh mengangkat telefon, anda boleh sahaja dengan mudah menggunakan teknologi Siri yang mampu mengakses senarai kontak, mengenal pasti nama kenalan anda dan menghubungi nombor tersebut, tanpa perlu untuk anda memegang telefon sama sekali.
- Teknologi Pengecaman Wajah (Facial Recognition Technology)
Anda tentu tidak janggal lagi dengan aplikasi pengecaman wajah yang semakin terkenal waktu ini. Ia bukan sahaja banyak diaplikasikan di dalam peranti mudah alih keluaran baru. Bahkan, aplikasi pengecaman wajah turut digunakan bagi memastikan pengawasan dan keselamatan di bangunan-bangunan kerajaan serta di kawasan-kawasan tumpuan ramai, seperti lapangan terbang, terjamin.
- Teknologi Autocorrect
Algoritma AI menggunakan teknologi pembelajaran mesin (machine learning), pembelajaran mendalam (deep learning) dan pemprosesan bahasa semula jadi (natural language processing) bagi tujuan mengenal pasti kesalahan ejaan dan penggunaan bahasa yang lain, sebelum mencadangkan pembetulan bagi sesuatu perkataan tersebut. Algoritma AI merangkumi penerapan data bahasa yang berkualiti tinggi, sehinggakan jika anda meletakkan tanda baca di tempat yang salah, ia pasti dapat mengenal pasti kesalahan tersebut.
- Aplikasi Peta dan Navigasi
Teknologi AI juga telah berjaya meningkatkan kualiti perjalanan kita dengan aplikasi-aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps. Jika masyarakat dahulu perlu bergantung hanya kepada papan tanda di jalan serta peta fizikal dan sistem GPS di dalam kereta, kini, masyarakat hanya perlu menaip destinasi dan boleh menerima arahan sama ada untuk pusing ke kanan, kiri dan lain-lain.
Pengaplikasian machine learning telah membuatkan algoritma AI untuk ingat keberadaan persekitaran dan bangunan-bangunan, serta mampu untuk menganalisis kesesakan lalu lintas. Dengan ini, teknologi AI mampu menyarankan laluan optimum untuk tiba ke destinasi dalam masa yang paling singkat.
- Teknologi Chatbots
Sebagai seorang pelanggan aplikasi atas talian, sistem perkhidmatan pelanggan kadang-kadang boleh memakan masa yang lama. Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah ini, banyak syarikat mulai mengaplikasikan teknologi Chatbots dalam berinteraksi dengan pelanggan. Hal ini kerana teknologi Chatbots mempunyai algoritma AI yang diprogramkan untuk menjawab soalan lazim, menerima serta menjejak pesanan atas talian, dan mengarahkan panggilan ke pegawai khidmat pelanggan jikalau perlu.
Lima contoh penggunaan teknologi AI ini menggambarkan kepentingan teknologi ini kepada masyarakat moden. Bahkan, perkembangan teknologi AI kini turut mempengaruhi jabatan pembangunan dan penyelidikan merentasi pelbagai industri, daripada industri penjagaan kesihatan sehinggalah industri teknologi pertahanan.