Sebelum ini, kita telah pun mengulas sejarah teknologi maklumat (IT) mengikut peredaran zaman iaitu dari Zaman Pra-Mekanikal (3000 S.M. – 1450), Zaman Mekanikal (tahun 1450 – 1840), dan Zaman Elektromekanikal (tahun 1840 – 1940). Jadi, kali ini, marilah kita baca tentang Zaman Elektronik! :
4) Zaman Elektronik (Electronic Age)
Bermula dari tahun 1940 hingga sekarang, Zaman Elektronik ialah zaman IT moden, iaitu zaman kepentingan pembangunan pengkomputeran. Zaman Elektronik menekankan revolusi penciptaan komputer bermula dari akhir Zaman Elektromekanikal. Sekarang, kita akan menerokai ciptaan-ciptaan serta tahap pengkomputeran digital (digital computing) pada Zaman Elektronik yang terbahagi kepada lima generasi :
- Generasi Pertama (tahun 1940-1956)
Pada akhir Zaman Elektromekanikal, sebuah komputer digital automatik berskala besar yang pertama, iaitu Harvard Mark 1, telah diperkenalkan dan dibangunkan dengan komponen elektromekanikal (electromechanical parts). Para saintis mendalami kajian mereka dan sedar bahawa tiub vakum boleh digunakan bagi menggantikan electromechanical parts dalam pembangunan sistem komputer.
Dengan itu, komputer digital berkelajuan tinggi yang pertama iaitu Electronic Numerical Integrator and Computer (ENIAC) telah berjaya dibangunkan untuk kegunaan Tentera Amerika Syarikat (A.S). Antara fungsi ENIAC dalam Tentera A.S. adalah ia mengkaji tentang senjata termonuklear, melakukan perhitungan tembakan artileri serta pembangunan bom hidrogen.
ENIAC amat berguna kepada Tentera A.S. kerana kemampuannya untuk menyelesaikan masalah melalui pengaturcaraan semula (reprogramming). ENIAC juga dikatakan seribu kali lebih pantas daripada mesin komputer elektromekanikal dari zaman sebelumnya. Walaubagaimanapun, ENIAC mempunyai satu masalah utama iaitu saiznya yang lebih besar daripada Harvard Mark 1, dengan keluasan 680 kaki persegi dan seberat 30 tan. Oleh sebab mesin ENIAC bersaiz besar, ia menggunakan tenaga elektrik yang tinggi dan mahal untuk dikendalikan.
- Generasi Kedua (tahun 1956-1963)
Semasa generasi kedua digital computing, tiub vakum telah digantikan dengan transistor. Oleh itu, mesin komputer menjadi lebih efisien kerana saiznya yang menjadi semakin kecil dan penggunaan tenaga elektrik yang semakin cekap. Selain itu, sistem komputer juga lebih mudah untuk diakses dengan pembangunan bahasa programming yang lebih canggih seperti COBOL dan FORTRAN. Komputer pada generasi ini juga beralih daripada bahasa mesin binari samar (cryptic) yang digunakan oleh ENIAC, ke bahasa mesin yang lebih simbolik dan mampu memprogramkan arahan bertulis.
Teknologi teras magnet juga telah menggantikan dram magnet yang membolehkan komputer untuk menyimpan arahan di dalam memori sistem komputer. Selepas itu, dengan perlahan, sistem komputer beralih daripada penggunaan punch cards dalam komputer generasi pertama seperti ENIAC, kepada penggunaan pita magnetik dan cakera.
- Generasi Ketiga (tahun 1964-1971)
Apabila digital computing berada dalam generasi ketiga, peningkatan yang jelas dalam kelajuan serta kecekapan komputer dapat dilihat dengan pembangunan litar bersepadu (IC). Selain itu, sistem pengendalian, papan kekunci dan monitor juga berada dalam tahap awal penciptaan bagi membolehkan komputer untuk mengendalikan banyak aplikasi pada satu masa yang sama dengan hanya satu program utama untuk penstoran maklumat.
Beberapa bahasa programming seperti BASIC telah diperkenalkan ketika generasi ketiga bagi memudahkan programming sistem komputer. Malahan, sejak generasi ketigalah, masyarakat bukan pihak kerajaan, ahli saintis komputer dan ahli matematik mula mempunyai akses kepada teknologi komputer.
- Generasi Keempat (tahun 1971-2010)
Komputer generasi keempat memperlihatkan peningkatan fungsi IC yang mengandungi sejumlah besar transistor hanya dengan satu cip kecil. Hal ini telah menunjukkan betapa berbezanya teknologi komputer daripada generasi pertama; bermula dengan tiub vakum dalam komputer yang mempunyai saiz amat besar sehingga memenuhi sebuah bilik, sehingga generasi keempat di mana segala teknologi tersebut boleh muat dalam hanya satu cip kecil.
Kemudian, Ethernet dicipta oleh Robert Metcalfe pada tahun 1973 untuk kegunaan menghubungkan beberapa komputer dan perkakasan komputer. Setelah itu, komputer peribadi (PC) seperti Scelbi & Mark-8 Altair, IBM 5100 dan Commodore PET mula dipasarkan kepada masyarakat awam.
Maka, dengan kemajuan teknologi sistem komputer, produk bahasa perisian (software) seperti Word untuk Windows pun diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai menggunakan komputer tanpa perlu mempelajari ilmu teknikal komputer. Setelah komputer kecil generasi keempat ini menjadi popular dan tersebar ke seluruh dunia, rangkaian internet pun dibangunkan.
- Generasi Kelima (tahun 2010- masa kini)
Dengan kemajuan teknologi masa kini, banyak kajian tertumpu kepada kecerdasan buatan (artificial intelligence) iaitu pembangunan mesin yang berfungsi seperti manusia. Antara teknologi yang telah pun berjaya diaplikasikan sekarang melalui artificial intelligence adalah pengecaman suara dan muka yang banyak diaplikasikan dalam telefon pintar berbagai jenama.
Jelaslah, bidang IT telah berkembang pesat, terutamanya sejak beberapa tahun belakangan ini. Bahkan, akan berkembang dengan lebih maju pada masa hadapan. Manusia yang pada dulunya mengumpul dan menyimpan maklumat dengan cara yang berbeza kini berkomunikasi dengan mudah melalui penggunaan teknologi. Oleh itu, IT memang penting dalam kehidupan kita dan ia telah memberi yang impak yang sangat besar dalam sejarah pembangunan kehidupan manusia.