Seperti yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini; Pengenalan kepada IT, kita sudah memahami kepentingan teknologi maklumat (IT) dalam kehidupan seharian dan operasi perniagaan pada masa kini. IT merupakan bentuk instrumen yang digunakan untuk mencari dan menguruskan pelbagai jenis maklumat. Persoalannya sekarang, “Bagaimanakah IT membangun pada mulanya?” Mari kita bongkarkan persoalan tersebut!
Secara amnya, jika kita berbicara mengenai IT, kita pasti akan terfikir tentang kemudahan internet dan gajet IT seperti telefon, komputer, televisyen dan lain-lain. Malahan, jika kita menanyakan soalan kepada kanak-kanak zaman kini mengenai cara memperoleh maklumat, mereka akan lantas memberi jawapan bahawa semuanya boleh dicari dengan akses internet. Mereka yang sudah biasa membesar dengan kemudahan teknologi yang lebih maju mungkin tidak pernah terfikir berbezanya teknologi pada masa dahulu. Evolusi IT berlaku dalam beberapa peringkat :
- Zaman Pra-Mekanikal (Pre-Mechanical Age)
Zaman Pra-Mekanikal dikenali sebagai zaman IT yang terawal (3000 S.M. sehingga 1450M). Menurut para ahli akademik, pada peringkat awal tamadun, manusia hanya berkomunikasi dan bergantung kepada daya ingatan untuk menyimpan maklumat. Mereka juga berkomunikasi melalui lakaran gambar, dikenali sebagai Petroglyph yang diukir di atas permukaan batu. Petroglyph digunakan untuk menyimpan rekod tentang jumlah haiwan atau ternakan yang dimiliki oleh mereka dan juga bagi menanda kawasan “wilayah” mereka.
Kemudian, bentuk komunikasi ini berkembang apabila masyarakat Mesopotamia memperkenalkan sistem tulisan yang pertama iaitu Cuneiform. Ia adalah berasaskan simbol dan digunakan bagi menggambarkan perkataan menurut bunyi yang dituturkan. Setelah itu, abjad Phoenicia pula diperkenalkan bagi menyatakan suku kata tunggal dan konsonan. Apabila bentuk sistem komunikasi ini tersebar, manusia pada zaman ini mula berkomunikasi dan menyimpan rekod maklumat dengan lebih baik seperti menuliskan maklumat di atas tanah liat basah, dan kemudiannya kertas yang diperbuat daripada pokok papyrus.
Dengan wujudnya kaedah komunikasi yang baharu, masyarakat pada zaman itu mula berdepan dengan masalah yang baharu iaitu cara untuk mereka menyimpan rekod maklumat bagi jangka masa yang panjang. Hal ini menyebabkan terhasilnya kaedah penyimpanan rekod yang berbeza mengikut kaum atau masyarakat tempatan seperti tablet tanah liat dan juga skrol. Maka, masyarakat pun mula beralih ke Zaman Mekanikal.
- Zaman Mekanikal (Mechanical Age)
Zaman Mekanikal (tahun 1450 sehingga 1840) merupakan suatu zaman di mana banyak jenis teknologi diperkenalkan kerana pertambahan manusia yang berminat dalam mendalami ilmu teknologi maklumat. Beberapa jenis mesin diperkenalkan seperti “movable metal type printing press” oleh seorang pencipta berbangsa Jerman, Johann Gutenberg. Ini menyebabkan tempoh proses mengarang sehelai halaman menjadi semakin pendek dan lebih mudah diakses oleh orang ramai.
Dengan ini, tercetus beberapa ciptaan dan teknik lain yang berguna seperti perkembangan indeks buku serta penggunaan nombor pada setiap muka surat. Kaedah penyusunan maklumat ini memberi ruang untuk bidang IT berkembang dengan wujudnya pembangunan pangkalan data dan penstoran fail. Ciptaan baharu yang lainnya termasuk “Slide Rule” (awal 1600-an), “Pascaline” (1642), mesin Leibniz (1670) dan “The Difference Engine” (1820).
Walaupun ciptaan baharu pada ketika itu tidaklah begitu efektif seperti teknologi masa kini, ia tetap telah memainkan peranan yang besar dalam perkembangan IT hingga ke hari ini. Dalam artikel selanjutnya, Artikel Bahagian 3 : Sejarah IT 2.0, perkembangan bidang IT semasa Zaman Elektromekanikal dan Zaman Elektronik akan diulas dengan lebih mendalam.