Sandal, ataupun panggilan yang sering digunakan masyarakat Malaysia, selipar, bukanlah sesuatu yang baru sahaja dicipta. Malah, banyak bukti kewujudan selipar dalam pelbagai bentuk sejak beribu tahun lalu lagi.
Antara bukti terawal kewujudan selipar adalah yang dihasilkan dan dipakai oleh kaum primitif di Armenia. Sandal yang ditemui di sebuah gua di negara tersebut dipercayai antara selipar yang tertua di dunia sejak 3500 SM. Mengikut rupa bentuknya, alas kaki tersebut dihasilkan berdasarkan idea “beg kaki” untuk melindungi kaki daripada batu tajam serta cuaca panas dan sejuk ketika kaum primitif ini keluar memburu.


Terdapat juga bukti mural kewujudan sandal purba di Tamadun Mesir sejak 4000 SM. Jika sandal kaum primitif di Armenia diperbuat daripada kulit lembu, sandal masyarakat Mesir purba ini pula diperbuat daripada daun papyrus. Menurut ahli sejarah Yunani, Herodotus, sandal papyrus dikira sebagai sebahagian ciri khas pakaian tradisional para firaun dan golongan diraja Mesir purba.
makam Firaun Ramses III)
Jadi, jelaslah memang tiada bukti jelas tentang kaum masyarakat mana yang pertama mencipta selipar. Malahan, di Asia Tenggara, selipar sudah pun wujud selama berabad-abad tanpa dipengaruhi oleh pemerintahan Jepun sama sekali.
Asal Usul “Selipar Jepun”
Anda pasti tertanya-tanya bagaimana selipar di Malaysia mendapat gelaran “selipar Jepun”. Sebenarnya, ia hanya gelaran yang digunakan oleh masyarakat Malaysia sahaja. Ia bukanlah bermakna askar Jepun yang membawa selipar daripada negara mereka kerana selipar sudah pun wujud lama sebelum zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Terdapat dua teori yang menceritakan bagaimana “selipar Jepun” mendapat nama :
- Kekejaman tentera Jepun
Penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu merupakan antara sejarah hitam dan terperit yang pernah dilalui oleh masyarakat setempat. Walaupun penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu hanya selama tiga tahun sembilan bulan, banyak perubahan drastik yang meninggalkan luka dan kesan yang mendalam kepada penduduk tempatan ketika itu.

yang diketuai oleh Jeneral Yamashita)
Pada zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, banyak kekerasan dan kekejaman yang telah dilakukan ke atas masyarakat tempatan. Peliknya, kebanyakan jenis kekerasan ini melibatkan penggunaan selipar yang diperbuat daripada getah.
Antaranya, tentera Jepun akan menyeksa tahanan penjara dengan cara menampar muka mereka dengan menggunakan selipar. Belum puas lagi dengan setakat menampar muka mangsa, tentera Jepun juga kerap memasukkan selipar getah itu ke dalam mulut tahanan, sampaikan ada di antara mereka yang dipaksa untuk menggigit selipar sehingga gigi mangsa patah.

Kekejaman tentera Jepun yang tiada hadnya bukan sahaja memberikan kesan kepada tahanan penjara semata-mata, tetapi juga masyarakat sekitar tersebut, terutamanya wanita tempatan. Pada awalnya, ia hanya bermula sebagai usikan gangguan seksual tapi lama-kelamaan, usikan tersebut menjadi tindakan keji merogol. Setelah dirogol, selipar akan dimasukkan ke kemaluan mangsa.
Perbuatan keras tentera Jepun menggunakan selipar sebagai alat seksaan mengakibatkan masyarakat tempatan menganggap selipar sebagai suatu mesej penghinaan. Disebabkan itu, penduduk Tanah Melayu dahulu trauma dan mempunyai fobia terhadap selipar, sehinggakan mereka pun menggelar alas kaki itu dengan gelaran “selipar Jepun”.
- Rampasan kilang membuat kasut oleh tentera Jepun
Pengeluaran kasut getah telah dilakukan seawal 1930-an, dengan rekod terawal pembuatan kasut getah di Tanah Melayu dipegang oleh syarikat Bata yang membuka kilang pertama mereka di Klang pada tahun 1937. Setelah itu, terdapat dua syarikat yang ditubuhkan oleh masyarakat Cina yang mengambil masuk pekerja mahir dari Bata untuk membuka kilang kasut milik mereka sendiri.
Walaubagaimanapun, semasa zaman pendudukan Jepun, banyak perniagaan termasuklah kilang membuat kasut ini dirampas dan diambil alih oleh Jepun. Bahkan, estet getah juga turut diambil alih oleh Shonan Gomu Kumiai (Persatuan Getah Shonan) Tentera Jepun untuk kepentingan pentadbiran Jepun sendiri. Sebilangan besar buruh ditugaskan untuk bekerja dalam projek ketenteraan, dengan bekalan getah Tanah Melayu digunakan untuk kemajuan perindustrian dan ketenteraan Jepun.

Semasa tempoh penjajahan Jepun inilah, selipar “zori” yang merupakan sandal tradisional di Jepun, diperkenalkan di Tanah Melayu. Namun, akibat harga produk asas ketika itu melambung tinggi, selipar “zori” pun diubah suai dengan menggunakan tayar terpakai yang lantas, mengurangkan kos pembuatan selipar. Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, selipar Jepun terus dianggap sebagai sentimen anti-Jepun yang mendalam oleh penduduk Tanah Melayu.

Tuntasnya, gelaran “selipar Jepun” mempunyai makna yang mendalamnya sendiri. Ia mengingatkan kita akan kezaliman yang pernah dirasakan oleh nenek moyang kita dahulu. Namun, disebabkan versatility selipar ini yang mudah dipakai, tahan lasak dan juga murah, ia terus digunakan sehingga ke hari ini.
Sumber
Koshy, Elena. “French Fashion House Hermes Places Our Humble Selipar Jepun in the …” New Straits Times, September 15, 2019. https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2019/09/521493/french-fashion-house-hermes-places-our-humble-selipar-jepun
Mastika. “Mengapa IA Dipanggil ‘Selipar Jepun’ Sedangkan Bukan Jepun Yang Menciptanya?” UtusanTV, April 29, 2022. https://utusantv.com/2022/05/05/mengapa-ia-dipanggil-selipar-jepun-sedangkan-bukan-jepun-yang-menciptanya/