TAHUKAH ANDA? (Part 13: Ilmu Perniagaan daripada The Art of War)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

Seseorang tidaklah perlu menjadi seorang pakar sastera untuk memahami nilai sesuatu karya yang mampu bertahan selama beribu tahun dan masih juga digunakan sehingga kini. Begitulah karya The Art of War oleh Sun Tzu yang bersifat abadi dan boleh diadaptasikan ke dalam kehidupan dunia moden melalui pengajaran-pengajaran tentang prinsip hidup. 

(Sun Tzu; 544 – 496 SM)

The Art of War (孫子兵法) ditulis oleh Sun Tzu tentang strategi-strategi ketenteraan abad ke-5 SM. Ia merangkumi segala aspek peperangan dan bertujuan untuk menasihati para jeneral tentang pentingnya fasa persediaan serta teknik-teknik menyerang, mempertahankan dan merawat mereka yang kalah. Teks klasik ini amat berpengaruh dalam sejarah dan digunakan lebih 2,000 tahun oleh ahli strategi ketenteraan seperti Napoleon dan Mao Zedong.

(Skrol manuskrip The Art of War)

Dalam artikel ini, kita akan mengenal pasti prinsip-prinsip yang digariskan oleh Sun Tzu dan boleh diterapkan ke dalam dunia perniagaan waktu kini : 

  1. Integriti dan Kepimpinan 

Sebagai seorang jeneral perang, Sun Tzu menegaskan pentingnya nilai kepimpinan serta integriti seorang pemimpin. Menurut Sun Tzu, pemimpin yang berintegriti mempunyai nilai moral yang tinggi dan mampu memimpin pasukan tenteranya ke arah kemenangan.

Dengan melihat ke dalam dunia perniagaan untuk masa kini, The Art of War dapat diaplikasikan di mana ia adalah penting untuk seorang pemimpin sebuah perniagaan mempunyai nilai etika yang baik. Hal ini kerana dengan ciri-ciri kepimpinan yang beretika dan berintegriti, maka, seseorang pemimpin itu boleh memaksimumkan kekuatan perniagaan, di samping turut menjaga kebajikan semua pekerja.

  1. Bersikap Proaktif, Bukan Reaktif

The Art of War juga menunjukkan bahawa Sun Tzu sememangnya amat mementingkan nilai kepimimpinan seorang pemimpin kerana menurut beliau, pemimpinlah yang akan sedikit sebanyak menentukan nasib sebuah perjuangan ketika perang. Oleh itu, Sun Tzu menegaskan bahawa seorang pemimpin itu haruslah bersikap proaktif dan bukan reaktif.

(Be proactive, not reactive)

Dalam bidang perniagaan, ia adalah penting untuk seorang pemimpin itu untuk mengambil inisiatifnya sendiri dan bersikap proaktif, berbanding hanya menunggu timbulnya sesuatu peluang ataupun masalah. Hal ini kerana jika seorang pengusaha perniagaan itu tidak bersikap proaktif, beliau cenderung untuk melakukan keputusan yang kurang baik kerana telah pun terlambat untuk mengambil kesempatan ke atas peluang ataupun untuk mengatasi sesuatu masalah.

Oleh itu, dengan mengikuti prinsip daripada The Art of War, seorang pemimpin boleh membangunkan model perniagaan mereka yang mempertimbangkan segala cabaran dan persaingan. Dengan ini, ia dapat meningkatkan peluang sesebuah perniagaan itu untuk berjaya, terutamanya dalam penembusan pasaran dan pencapaian maklumat perniagaan.

  1. Amalan Sentiasa Bersedia

Di dalam The Art of War, Sun Tzu turut menegaskan tentang kepentingan segala bentuk persediaan sebelum melibatkan diri dalam suatu peperangan. Malahan, Sun Tzu menyiapkan satu bab dalam teks beliau khusus untuk kepentingan dan taktik perancangan. Menurut Sun Tzu, sebelum berperang, jeneral perlulah merancang daripada segala aspek seperti perubahan cuaca, kawasan medan perang, lokasi musuh, dan lain-lain. Hal ini kerana kesukaran untuk meramal keadaan situasi ketika sedang berperang.

(Pepatah Melayu : Sediakan payung sebelum hujan)

Oleh itu, dalam dunia perniagaan masa kini, pengusaha perniagaan digalakkan untuk mempraktikkan prinsip ini ke dalam proses membangunkan perniagaan mereka. Seorang pengusaha wajarlah untuk melakukan persiapan dalam menghadapi bermacam jenis risiko pada masa akan datang. Model perniagaan patut dibangunkan dengan teliti, terutamanya strategi-strategi yang ingin diambil bagi mencapai matlamat perniagaan.

Seseorang pengusaha patut mempunyai keupayaan untuk melihat perniagaan mereka dalam konteks gambaran secara holistik : kebolehpasaran, potensi pelanggan, persaingan dalam pasaran, dan lain-lain. Malah, jika pengusaha tersebut ingin mengecilkan pengaruh pengusaha lain, beliau perlulah memastikan bahawa pasaran tidak akan serta-merta hangus akibat taktik yang digunakannya.

  1. Mengenali “Musuh” (get to know enemies’ weakness)

“Know the enemy as well as oneself,” – Sun Tzu.

Sebelum berperang, Sun Tzu menyatakan bahawa ia adalah penting untuk para tentera mengetahui segala tindak-tanduk musuh, serta kekuatan dan juga kelemahan mereka. Hal ini bagi mempersiapkan tentera dengan segala bentuk perkiraan sebelum berperang seperti bila dan bagaimana untuk menggunakan strategi pertahanan dan serangan.

Dengan mengaplikasikan The Art of War ke dalam dunia perniagaan moden, kekuatan dan kelemahan sesebuah perniagaan boleh diketahui melalui carian internet. Oleh itu, mengikut nasihat Sun Tzu, ia adalah lebih baik untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan pesaing berbanding melakukan serangan terhadap kekuatan mereka. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya pembuangan sumber secara berlebihan.

Kesimpulannya, The Art of War mementingkan pemikiran yang strategik bagi mencapai apa-apa bentuk kejayaan sekalipun. Seperti operasi ketenteraan lainnya, model strategi perniagaan perlulah dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Jika tidak, seorang pengusaha tersebut tidaklah dianggap sebagai seorang jeneral, tetapi hanya sekadar pendekar yang berjuang tanpa matlamat yang jelas.

Sumber

Cartwright, Mark. “The Art of War.” World History Encyclopedia. Accessed November 29, 2022. https://www.worldhistory.org/The_Art_of_War/

McNeilly, Mark. “Fighting Your Business Battles: 6 Lasting Lessons from Sun Tzu’s Art of War.” Fast Company, 2013. https://www.fastcompany.com/3021122/fighting-your-business-battles-6-lasting-lessons-from-sun-tzus-art-of-war

Theobald, Ulrich. “Sunzi Bingfa 孫子兵法.” China Knowledge. Accessed November 29, 2022. http://www.chinaknowledge.de/Literature/Diverse/sunzibingfa.html

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on email
Share on whatsapp
Share on telegram

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Don’t Stop Here

More To Explore

Revolusi Kerja Jarak Jauh

Kerja jarak jauh semakin popular dalam era digital. Peningkatan teknologi dalam talian membolehkan pekerja bekerja dari mana-mana dengan akses internet yang stabil. Artikel ini membincangkan

5 Senaman Mudah di Pejabat

Duduk berjam-jam boleh menyebabkan kesakitan badan, kekejangan, dan kebas. Namun, mengambil masa beberapa minit setiap jam untuk melakukan senaman mudah boleh membantu anda menjaga kesihatan

Eksklusif newsletter update di inbox anda.