“Logic is the foundation of the certainty of all the knowledge we acquire.” – Leonhard Euler
Seperti artikel-artikel sebelumnya yang memberi fokus pada perkembangan bidang Matematik mengikut peredaran zaman, kini, kita akan sambung pula dengan sejarah perkembangan Matematik semasa abad ke-18 :
8) Matematik ketika Abad ke-18
Bermula tahun 1700, ideologi gerakan-gerakan untuk membangunkan masyarakat yang berpendidikan berasaskan model masyarakat di Paris dan London mula tersebar ke masyarakat seluruh Eropah dan juga benua Amerika. Pusat pendidikan utama masyarakat pada ketika itu dikenali sebagai sebuah akademi, dan hanya diganti kepada universiti pada abad ke-19.
Ramai ahli Matematik yang memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan bidang tersebut. Walaubagaimanapun, abad ke-18 ini dikatakan telah didominasi oleh keluarga Bernoulli yang berasal dari Basel, Switzerland. Hal ini kerana keluarga Bernoulli telah melahirkan beberapa generasi ahli Matematik yang berjaya, terutamanya adik beradik yang bernama Jacob dan Johann Bernoulli.

Dua beradik ini berjaya dan bertanggungjawab dalam mengembangkan kalkulus infinitesimal Leibniz, terutamanya melalui hasil penyelidikan mereka dalam generalisasi dan lanjutan kalkulus yang dikenali sebagai calculus of variations. Selain itu, mereka juga telah mengembangkan teori keberangkalian dan teori nombor yang pada asasnya, dibangunkan oleh Pascal dan Fermat.
Basel juga merupakan tempat kelahiran seorang lagi ahli Matematik hebat abad ke-18 iaitu Leonhard Euler. Namun, oleh kerana pengaruh kuat keluarga Bernoulli, Euler lebih banyak meluangkan masanya di Jerman dan juga di St. Petersburg, Rusia.
Euler cemerlang dalam semua aspek pengajian Matematik, termasuklah cabang geometri, kalkulus, trigonometri, algebra dan juga teori nombor. Bahkan, beliau disifatkan sebagai seseorang yang inovatif dan mendahului zamannya. Hal ini dibuktikan dengan gambaran beliau tentang penggunaan kumpulan-kumpulan simetri, topologi rangkaian, teori keputusan serta teori set.
Beliau membuktikan banyak teorem, mempelopori pelbagai kaedah baharu, menyeragamkan notasi Matematik dan menulis banyak buku teks yang amat berpengaruh. Malah, hasil penyelidikannya ke atas nombor perdana dikatakan sebagai permulaan Zaman Kegemilangan Matematik yang akan berterusan sehingga beberapa abad akan datang.
Selain Euler dan keluarga Bernoulli, Joseph Louis Lagrange juga merupakan seorang ahli Matematik yang banyak menyumbang kepada perkembangan pembangunan bidang tersebut. Lagrange telah bekerjasama dengan Euler melalui penyelidikan tentang calculus of variations. Di samping hasil kerjasamanya dengan Euler, Lagrange juga menjalankan penyelidikan secara sendiri di mana beliau lazim dikreditkan sebagai pencetus idea teori kumpulan, yang kemudian memainkan peranan yang amat penting dalam bidang Matematik abad ke-19 dan abad ke-20.
Sumber
Smith, William. “18th Century Mathematics.” The Story of Mathematics – A History of
Mathematical Thought from Ancient Times to the Modern Day, October 11, 2022.