Dalam artikel kali ini, kita akan terus mengulas dengan lebih lanjut sejarah perkembangan bidang Matematik di seluruh dunia. Dengan memberi fokus pada sejarah perkembangan bidang ini sewaktu abad ke-17, jom kita mulakan :
7) Matematik ketika Abad ke-17
Di penghujung Zaman Pertengahan Eropah, pembangunan bidang keilmuan menjadi semakin pesat dengan abad ke-17 dikenali sebagai suatu era revolusi saintifik (Age of Reason). Dengan Revolusi Copernican yang diperkenalkan oleh Nicolaus Copernicus pada abad ke-16, perkembangan bidang astronomi bersifat sangat revolusioner dan mempengaruhi rumusan undang-undang Matematik planet yang dibangunkan oleh Johannes Kepler, Tycho Brahe dan Galileo Galilei.


Pada abad ke-17 juga, berlaku banyak inovasi dalam bidang Matematik dengan kemajuan seperti dalam konsep pengiraan berangka, pembangunan algebra simbolik dan geometri analitik. Kemajuan bidang keilmuan di Eropah lah yang mendorong penggantian konsep geometri Yunani klasik kepada konsep penyelidikan saintifik yang berasaskan analisis, lantas membezakan bidang Matematik baharu berbanding geometri tradisional.
Peningkatan permintaan praktikal masyarakat awam dan juga para ilmuwan, terutamanya dalam bidang trigonometri, navigasi dan juga astronomi menyebabkan terhasilnya konsep baharu pengiraan berangka. Contohnya, pembangunan konsep logarithm yang diperhalusi oleh Napier dan Henry Briggs banyak menyumbang kepada kemajuan bidang sains, astronomi dan matematik dengan memudahkan pengiraan yang biasanya sukar.


Bahkan, jika Napier tidak membangunkan konsep Logarithm, para saintis pada masa akan datang seperti Johannes Kepler dan Isaac Newton tidak akan dapat melakukan pengiraan kompleks yang diperlukan untuk ciptaan-ciptaan mereka. Selain itu, dengan merujuk kepada teori asas lattice multiplication oleh ahli Matematik Islam, Al-Khawarizmi, Napier juga memperkembang idea tersebut menjadi Napier’s Bones.
Ahli Matematik lain yang memainkan peranan besar pada abad ini ialah Rene Descartes dengan pembangunan geometri analitik dan koordinat Cartesian. Ia membolehkan orbit planet-planet untuk diplot pada graf yang kemudiannya menjadi asas untuk pembangunan kalkulus serta geometri pelbagai dimensi.
Jadi pada asasnya, segala pembangunan konsep baharu Matematik pada waktu ini banyak membuka peluang untuk pembangunan bidang-bidang ilmu yang lain, terutamanya bagi pembangunan ilmu astronomi, fizik dan pengkomputeran pada abad-abad akan datang.
Sumber
Smith, William. “17th Century Mathematics.” The Story of Mathematics – A History of
Mathematical Thought from Ancient Times to the Modern Day, October 11, 2022.